Satu hari, seekor Nuri bernama Fatimah pulang ke rumah. Bengang, keliru dan marah.
“Saya tak suka paruh saya!” rungut Fatimah kepada maknya.
“Mengapa pula? Kan cantik?” kata maknya.
“Burung lain semua mempunyai paruh yang lebih cantik – Helang, Pelikan, Sendok dan Pipit! Saya saja yang ada paruh macam ini!” kata Fatimah.
Berfikir sejenak melihat ke cermin, mak Fatimah turut bersetuju dengan anaknya.
“Jom kita pergi tanya Tok Guru. Beliau akan tahu apa nak buat. Dia paling bijak dalam kumpulan Nuri dan tinggal di pokok tertinggi. Beliau akan tahu apa nak buat,” kata mak Fatimah.
>>Fatimah dan maknya tiba di rumah Tok Guru di pohon tertinggi.
“Maafkan saya Tok Guru. Saya ada masalah yang paling besar di dunia,” kata Fatimah.
“Apa yang saya boleh bantu?” tanya Tok Guru kumpulan Nuri.
“Saya ada satu paruh yang hodoh dan bodoh. Mengapa saya tidak layak mendapat paruh seperti Helang, Pelikan, Sendok dan Pipit?” tanya Fatimah sambil maknya mendengar.
“Betul itu. Mereka semua ada paruh yang hebat. Fatimah, jawab dulu soalan saya, suka tak makan cacing dan benda-benda krustasia?” tanya Tok Guru.
“Ewekkk! Itu menjijikan!” jawab Fatimah.
“Itu tujuan mengapa paruh Sendok dibuat sebegitu rupa. Bagaimana pula dengan ikan?” tanya Tok Guru lagi.
“Itu lagi jijik… melompat-lompat dalam mulut!” jawab Fatimah lagi.
“Hmmm… jadi paruh Pelikan pun tak sesuai untuk Fatimah. Bagaimana pula dengan arnab dan tikus?” tanya Tok Guru lagi.
“Ewwww… darah ewwww…” Fatimah rasa nak muntah.
“Hmmm… jadi paruh Helang pun tak sesuai untuk Fatimah. Bagaimana pula dengan bijiran yang kecil?” tanya Tok Guru.
“Itu ok. Tapi saya suka kacang yang lebih besar macam Almond dan Hazelnut,” kata Fatimah, si Nuri sambil menelan air liurnya.
“Saya ada beberapa biji. Saya ambilkan,” kata Tok Guru.
Fatimah terus makan Almond dan Hazelnut yang disediakan Tok Guru.
“Jadi Fatimah, jika kamu ada paruh seperti Helang, Pelikan, Sendok dan Pipit boleh kah kamu menikmati Almond dan Hazelnut itu?” tanya Tok Guru.
“Rasanya tidak,” jawab Fatimah sambil tersentak.
Fatimah dan maknya terhenti seketika perlakuan mereka. Mereka memandang Tok Guru – airmata mula mengalir.
“Terima kasih Tok Guru. Kami faham sekarang. Paruh kami adalah terbaik dan direka khas untuk kami. Kami tak patut dengki dengan paruh orang lain,” kata Fatimah dan maknya.
NOTA KAKI.
Jangan habiskan masa berdengki dan cemburu dengan kelebihan orang lain. Lebih baik kita tahu apa kelebihan kita dan mengapa Allah memberikan kita sesuatu.
Bersangka baiklah bahawa Allah maha Adil. Ada yang ada pada orang lain ada tujuannya yang mungkin tidak sesuai untuk kita. Kita adalah unik dengan kelebihan tersendiri.
p/s : Amacam sedap tak nama burung tu ..hiks